Zizan Amal Raikan Peminat Sempena Aidilfitri
Sama seperti tahun lalu, pelakon, pelawak dan pengacara Zizan Razak masih lagi mengadakan rumah terbuka Aidilfitri sempena meraikan peminatnya sebagai tanda penghargaan.
Tahun ini, dia tetap mengadakan rumah terbuka pada Syawal ketiga di kediamaan orang tuanya di Kuala Terengganu, Terengganu.
"Sama macam tahun lalu, saya masih mengadakan rumah terbuka pada hari raya ketiga untuk meraikan peminat saya. Rumah terbuka itu diadakan pada jam 9 pagi sehingga 11 malam. Jadi saya menjemput kesemua peminat yang banyak menyokong saya untuk hadir memeriahkan suasana," katanya.
Jelas Zizan menu wajib di rumah terbuka tersebut tentunya nasi minyak, selain rendang dan kuih muih. Malah kata Zizan yang menariknya kesemua menu itu dimasak oleh ibunya bersama jiran-jiran yang lain.
"Siapa yang datang rumah terbuka saya ini, yang menariknya kesemua masakan mak saya masak dengan jiran-jiran. Itu yang istimewanya bukannya ditempah. Walaupun penat tapi seronok kerana kita dapat bersama-sama masak dan meluang masa bersama," ucapnya lagi.
Dalam pada itu kata Zizan, dia terkejut dengan sambutan peminat kerana ada yang sanggup datang dari jauh untuk ke rumah terbukanya.
"Saya terkejut kerana ada peminat yang datang dari Singapura, Brunei dan luar dari Terengganu. Apa pun saya mahu mengucapka ribuan terima kasih kerana sudi hadir. Selain beraya mereka mahu bergambar dengan saya. Seboleh mungkin saya akan cuba melayan dan selagi mampu saya tidak akan mengecewakan mereka,. Alhamdulillah setakat ini semuanya berjalan dengan lancar,"jelasnya.