Ella & Suami Tidak Tahu Beraya Di Rumah Siapa Dulu
Sama seperti wanita lain, dia juga mempunyai keinginan untuk bersama suami untuk menyambut Syawal bersama. Lantas setelah lama membujang, kini segala impian ratu rock negara, Ella akhirnya terlaksana.
Baginya, sambutan Syawal kali ini cukup sempurna setelah bergelar isteri kepada Azhar Ghazali yang telah diijabkabulkan pada 7 Julai lalu. Meskipun kekok kerana selama ini hidup sendirian dan kini berdua bagi Ella itu bukanlah satu masalah utama buat dirinya.
“Alhamdulillah, Syawal kali ini cukup bermakna buat saya kerana dapat menyambutnya bersama suami. Begitu juga sepanjang ramadan ini. Saya cukup gembira kerana dapat meluangkan masa bersamanya berterawih. Memandangkan kami sama-sama sibuk dan Ramadan ini membantu merapatkan lagi hubungan kami.
“Selepas terawih kami akan minum teh tarik bersama dan itu antara perkara yang ingin saya lakukan sejak dulu lagi dan syukur Yang Maha Esa menunaikannya di hari terawih yang pertama lagi.
Sebelum ini, selepas terawih saya tak pernah berkesempatan pergi minum teh tarik, lepak dan saya memang mahu sangat melakukannya. Jadi apabila semua itu dapat dilakukan setelah saya berumahtangga, saya amat gembira,” katanya mengulas mengenai kehidupan barunya itu.
Mengenai sambutan rayanya, terang Ella, dia hanya bercuti selama sehari atau dua sahaja. Malah kata Ella, dia dan suami akan beraya di rumah saudara mara terdekat sahaja namun masih belum memutuskan untuk beraya di rumah siapa dahulu.
“Saya dan dia tidak ambil cuti lama, mungkin satu atau dua hari sahaja. Balik rumah keluarga mana dulu pun masih belum diputuskan lagi. Nanti dekat raya baru kami akan mula berbincang,”jelasnya.
Sementara itu bercerita mengenai pakaian raya pula kata Ella, dia dan suami juga masih belum memikirkan sama ada mahu mengayakan pakaian sedondon atau pun tidak. Semuanya akan ditentukan dalam masa terdekat.