Aiman Pilih Bersederhana Sambut Raya
Semakin dikenali ramai, pelakon yang popular menerusi drama Vanilla Coklat, Aiman memberitahu dia bukanlah seorang yang gemar membazir dalam menyambut kedatangan Syawal.
Lebih senang bersederhana kata Aiman, berbelanja besar untuk menyambut raya bukanlah amalan dirinya.
"Saya lagi suka raya disambut dalam penuh kesederhanaan dan ringkas sahaja. Saya tidak nampak keperluan untuk berbelanja besar sampai nak beli baju dua atau tiga helai semata-mata untuk raya. Bagi saya cukuplah sehelai pun," katanya kepada Astro Gempak.
Menyambung perbualan kata Aiman, bukanlah dia seorang yang kedekut sebaliknya amalan sebegitu memang telah lama diamalkan oleh dirinya dan keluarga.
"Memang dari kecil saya dan keluarga telah mengamalkan perkara sebegitu. Membeli mana yang perlu dan saya rasa ia merupakan perkara baik yang harus diteruskan,"jelasnya lagi.
Bercerita mengenai persiapan raya, kata Aiman, dia lebih senang menyerahkan kepada keluarga untuk menguruskannya. Namun kadang kala dia juga masih membantu.
"Selalunya kalau mengenai persiapan raya ini, keluarga saya akan menguruskannya. Saya ini kadang kala akan bantulah, biasalah orang bujang,
Dalam pada itu, kata pemilik nama sebenar Aiman Hakim Ridza, dia kini sibuk dengan penggambaran beberapa buah drama. Malah katanya, dia amat bersyukur kini, rezekinya dalam bidang lakonan semakin bercambah.
"Alhamdulillah, kini rezeki dalam bidang lakonan semakin baik. Saya amat bersyukur kerana orang ramai juga boleh menerima lakonan saya. Doa saya kini, semoga langkah saya dalam bidang lakonan akan terus berkembang dengan jayanya.